Love..Love..Love..

Sunday 30 October 2011

Syyy....RAHSIA LELAKI YANG WANITA PERLU TAHU..

Seperti wanita, lelaki juga punya hati dan perasaan yang perlu dijaga, dibelai dan difahami. Walaupun kelihatan gagah di luarnya, siapa tahu sekeping hati yang dimiliki oleh kaum Adam ini mudah tersentuh dan dahagakan perhatian yang sedalamnya. Oleh itu, jangan mudah melabelkan kaum ini dengan pelbagai andaian negatif. Mari terokai dan dalami hati, minda dan perasaan mereka:-
  • Mereka sangat menyukai wanita yang boleh bertolak ansur dan bertimbang rasa dalam segala hal berkaitan dengan hidup dan perhubungan mereka.
  • Mereka juga tidak menyukai sikap manja dan keanak-anakan seorang wanita yang sengaja ditonjolkan secara melampau dan keterlaluan.
  • Kaum Adam ini sangat mementingkan sebuah kejujuran. Mereka mahu wanita yang bakal bertahta di hati merupakan seorang yang boleh berlaku jujur dan mampu menyimpan segala rahsia perkara yang pernah berlaku dalam perhubungan mereka.
  •  Mereka akan meninggalkan wanita yang sangat suka bersosial tanpa batasan dalam pergaulannya.
  • Mereka mudah menyampah dengan wanita yang kuat berleter dan bertekak dengan mereka.
  • Mereka sangat sukakan wanita yang mampu membuatkan mereka tertawa dengan teletah yang tersendiri dan semula jadi(tanpa wujud unsur-unsur kepalsuan atau buat-buat).
  • Mereka juga tidak suka diri dikritik dan dikomen sama ada secara terbuka mahupun tertutup di khalayak ramai. Hal ini demikian kerana mereka tidak begitu terbuka untuk menerima sebarang kritikan walaupun kritikan itu untuk kebaikan dirinya.
  • Kaum Adam juga tidak suka dipaksa dalam membuat sesuatu keputusan kerana mereka akan lebih senang andai diberikanmasa dan ruang untuk membuat keputusan sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.
  • Mereka sangat menyanjungi sifat wanita iaitu sifat setia dan sentiasa berada di sisi mereka saat susah mahupun senang untuk diharungi dan diraikan bersama.
  • Mereka akan menghargai dan menghormati wanita yang pandai menjaga maruah dan kehormatan diri sendiri.
  • Terdapat lelaki yang mana untuk menakluki hati mereka, wanita tersebut harus terlebih dahulu dapat menakluki hati wanita kesayangan lelaki tersebut iaitu IBUNYA.
  • Mereka sangat anti dengan wanita yang sangat suka mengumpat hal orang lain.
  • Jangan fikir mereka tidak mampu untuk merajuk, meradang dan moody dalam hidupnya. Apa yang perlu dilakukan oleh wanita adalah sentiasa memahami, menenangkan, menjaga dan mengambil hati mereka dengan sebaiknya.
  • Mereka mudah tewas dan rebah dengan senjata utama wanita iaitu AIRMATA.
  • “Semua lelaki sama sahaja”. Penyataan ini sangat menyakitkan hati seorang yang bergelar LELAKI kerana mereka sangat tidak suka disamakan dengan orang lain.( Mereka percaya manusia adalah berbeza antara satu sama lain.)
  • Lelaki juga adalah manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Cuma, segala emosi telah mereka simpan jauh dalam hati mereka.
  • Jangan sesekali memperlekehkan kemampuan diri mereka sama ada dikhalayak ramai mahupun didepannya sendiri kerana mereka mudah tercabar dengan perkara itu.
  • Sekali lagi jangan memuji ketampanan, kekacakan, kebaikan dan kelebihan lelaki lain dihadapannya. Ini menunjukkan anda tidak menghormati dan menghargainya sebagai seorang lelaki yang mempunyai perasaan dan maruah diri.
  • Mereka mudah kagum dan tertarik dengan wanita yang cekal dan tidak mudah mengalah ketika berhadapan masalah dan situasi yang menekan diri.
  • Lelaki sangat suka makanan dan suka makan. Jadi untuk memikat hati mereka, wanita harus pandai dan tahu serba-serbi hal masak-memasak. Pernah dengar bidalan “ikat dan pikatlah suami melalui perutnya..?” (betulkan jika salah...)
  • Selain hati yang mulia, mereka juga mudah tertarik dengan wanita yang mempunyai penampilan yang menarik dan sesuai dengan citarasa mereka.
  • Mereka senang jika wanita yang bakal disunting sebagai teman hidup adalah seorang yang sangat murah hati, bersopan santun dan baik hatinya.
  • Sesetengah mereka juga sangat sukakan penampilan wanita yang sederhana dalam segala aspek penampilan diri wanita tersebut.
  • Jika anda seorang yang pengotor dan tidak pandai mengemas bilik sendiri, jangan mimpi mereka akan menyukai anda.
  • Seperti wanita, mereka juga tidak suka wanita yang suka merokok.
  • Percayalah..Mereka benci dengan perkara-perkara membosankan dan sia-sia yang dilafazkan oleh wanita kesayangan mereka.
  • Percayalah juga terdapat di kalangan mereka yang sangat mementingkan kesempurnaan dalam segala aspek kehidupan mereka walaupun dalam aspek mencari pasangan hidup sekalipun.
  • Lelaki sangat berahsia dengan lelaki lain kerana mereka jenis yang sangat sukar berkongsi masalah dan kesusahan yang menimpa ataupun harapan dan impian dalam diri mereka. Mereka beranggapan segala rahsia adalah rahsia individu yang tidak patut dikongsi dengan orang lain.
  • Kekecewaan mereka apabila wanita kesayangan gagal membuat keputusan dalam semua hal termasuk berkaitan dengan hubungan jangka panjang mereka (perkahwinan).
  • Mereka boleh menjadi teman dan sahabat paling setia dan baik dalam hidup andai wanita menjadikan mereka sahabat dan teman paling baik. 

Saturday 29 October 2011

KATA SEBUTIR MUTIARA..MENTARI

Cinta Illahi seperti sinar mentari..memberi tanpa mengungkit kembali, tidak memilih kepada sesiapa yang Dia sinari..juga yang memberikan kehangatan iman di dalam hati..

  Allah sentiasa memberikan hamba-hamba-Nya anugerah cinta dalam hati setiap kali nafas terhembus dari setiap rongga kehidupan hamba-hamba-Nya. Allah tidak akan sesekali memilih pada siapa yang ingin dianugerahkan segala nikmat mahupun musibah milik-Nya.

  Allah terus mencintai walaupun tahu ramai yang lupa pada-Nya kini. Sinar cinta-Nya terus melimpah dan memenuhi segala isi di langit dan di bumi. Allah tidak pernah mengungkit segala yang pernah diberi. Tetapi hamba-hamba-Nya yang sering lupa diri dan melupakan Tuhannya. Aku juga selalu melupakan Mu, Ya Allah. Semoga dosa-dosa ku dan hamba-hamba-Mu yang lain diampuni. Amin.

  Cinta Allah sangat suci hingga mampu menghangatkan hati hamba-Nya yang telah dingin dan mati. Jika hitung dan dibandingkan cinta manusia seluruh alam ini tidak akan mampu menandingi cinta Allah yang satu ini. Cinta Allah yang maha Agung. Tiada yang mampu menandingi cinta-Nya.

  Oleh itu, burulah cinta-Nya melebih cinta yang wujud di alam ini. Jejakilah Kasih-Nya melangkaui jurang dunia.. Dan cintailah Cinta-Nya dengan sepenuh hati selagi Dia masih mahu mencintai dan mengasihi kita sebagai Hamba-Nya.

  

KATA SEBUTIR MUTIARA..HAPPINESS

Happiness consists not in having much, but in being content with little.-Lady Marguerite Blessington.


  Setiap kebahagiaan bukan bererti mampu memiliki segala-galanya. Ya..diakui juga bahawa sebagai insan biasa yang tidak mudah berpuas hati dengan apa yang didapatkan..kita semua (termasuk diri penulis) juga menginginkan sesuatu yang lebih setelah kita memiliki sesuatu benda yang dihajati selama ini.

 Namun, yang menjadi persoalannya adakah setiap kemahuan dan keinginan yang diperoleh mampu memuaskan hati dan rohani diri kita..? Adakah segala hajat yang telah dan sedang dipenuhi itu mampu menjanjikan sebuah kebahagiaan kepada kita..?

 Oleh itu berpuas hatilah dengan apa yang kita miliki kerana itulah yang terbaik dan tiket bagi kita mengapai dan menjamin kebahagiaan kita untuk suatu jangka masa yang lebih lama. Bersyukurlah dengan apa yang dimiliki dan berbahagialah dengannya.

KATA SEBUTIR MUTIARA..PATIENCE

Patience is a remedy for every sorrow.-Pubilius Syrus.


  Memang benar. Setiap kedukaan dapat kita lalu andai kita masih mampu untuk bersabar. Dan setiap kesabaran itu juga mampu menjadi penawar andai kita memahami nikmat kesabaran itu yang sebenarnya. Kesabaran jadi tunjang untuk kita terus bertahan dan terus bertahan.

 Kita pasti akan bertemu dan menghadapi setiap kedukaan, kesusahan, kesakitan dan dugaan dalam melengkapkan putaran kehidupan kita dengan sempurna. Yang pasti setiap dugaan dan kedukaan yang dihadapi itu pasti menghiris-hiris hati dan jasad kita sama ada dalam keadaan kita sedar, separa sedar atau tidak kita sedari.

 Namun, Allah telah menganugerahkan kepada kita sebuah anugerah yang sangat indah dan agung iaitu KESABARAN. Sabar... bersabarlah sayang andai kamu menghadapi setiap dugaan dan cubaan yang telah diberikan kepada kamu oleh-Nya. Sesungguhnya setiap kedukaan dan ujian yang menimpa dirimu itu adalah bukti Allah masih mencintai dan menyayangimu sebagai hamba. Dan juga bukti Allah sedang melimpahkan segala pahala ke ribamu dan juga sedang menghapuskan segala dosa-dosamu andai dirimu bersabar.

 Oleh itu, bersabarlah sayang. Allah sedang menunjukkan kecintaannya pada mu. Bersabarlah kerana ia merupakan penawar segala kedukaan yang wujud dalam dirimu. Bersabarlah.
 

Friday 28 October 2011

KATA SEBUTIR MUTIARA..MONEY

Money will not make you happy, and happy will not make you money.-by Groucho Mark.

   Ya...wang memang tidak akan membuatkan kita selalu gembira dan bahagia...tetapi adakah benar kebahagiaan dan kegembiraan tidak memberikan kita wang..? Adakah wang tidak mampu dihasilkan daripada sebuah kebahagiaan?

    Dalam dunia yang terkini ini, tidak mustahil untuk seseorang seperti kita menghasilkan sumber kewangan melalui kebahagiaan diri dan orang lain. Namun yang menjadi persoalannya kini..adakah kebahagiaan dan kegembiraan yang ditonjolkan itu memang benar terbit daripada ketulusan hati...?

    Anda fikir..anda dapat jawapannya..!!

Friday 21 October 2011

KETELANJURAN MEMATANGKAN DIRI...MUHASABAHLAH DIRI

Setiap salur uratku...
seolah-olah mengalir satu racun yang sangat berbisa...
nadi seakan mahu berhenti berdenyut...darah seakan mahu berhenti mengalir..jantung seakan mahu berhenti berdetap...roh seakan mahu melayang..

betullah kata-kata ini...
Yang baik itu datang dari Allah....yang buruk itu datang dari kekhilafan diri kita sendiri...Allah tidak akan sesekali mengainaya hamba-hambanya...bahkan hamba-hambanya sendiri yang sering mengainaya dirinya sendiri. Allah telah memberikan kita akal...kenapa masih tidak dapat berfikir dengan rasionalnya...
Allah telah memberikan kita hati...kenapa masih gagal mengawal segala emosi...Ya Allah ..sesungguhnya hamba-Mu ini telah banyak melakukan kezaliman keatas dirinya sendiri... Sesungguhnya hamba-Mu ini sangat naif dalam melakukan segala perlakuan hingga gagal mengawal kesan dan akibat daripada perbuatannya itu...Hamba-Mu ini sering tersilap dan tersalah dalam mengatur langkahnya hingga selalu terjatuh dalam gaung kejahilan yang membuatkan segala yang terdapat dilangit dan dibumi murka kepadanya.. Ya Allah...hamba-Mu ini hanya mampu memohon ampun padamu...andai mohon ampunku tidak berguna lagi dikalangan hamba-hamba-Mu...kupohon jangan ditarik segala iman yang tersisa dari hatiku Ya Allah supaya dapat ku terus mendekati-Mu..untuk ku berpaut teguh pada dahan keimanan-Mu...Ya Allah...Hambamu ini sangat mendambakan kasih sayang dari-Mu Ya Allah...Teguhkanlah Iman ku Ya Allah...bukakan lapangan dadaku..ampuni diriku Ya Allah...Amin. TT___TT

Wednesday 12 October 2011

CINTA AYAH DAN BONDA

Ayah dan bonda..
Dua insan yang paling penting dalam hidup seseorang insan. Tanpa wujud salah seorang daripada mereka berdua, tidak akan lahirlah seseorang manusia dalam melainkan dengan kehendak Allah S.W.T. Ayah dan bonda lambang cinta yang Allah kurniakan kepada manusia. Kerana tanpa cinta Allah, tidak akan wujud rasa cinta antara ayah dan bonda. Dengan hadir cinta dari Tuhan, telah memetik benih cinta dalam jasad bonda dan ayah. Seterusnya terlahirlah baka cinta yang mewarna kehidupan mereka sepanjang hayat.

   Kerumitan untuk menjadi seorang ayah dan bonda adalah serumit pekerjaan manusia di dunia ini. Ini kerana baik buruk, dosa pahala seseorang anak itu terletak di atas bahu ayah dan bonda mereka. Mereka pengatur segala laluan hidup anak kerana mereka lebih arif dengan liku-liku hidup. Mereka pelindung anak-anak dikala musibah dan marabahaya datang menimpa permata hati yang dikasihi. Mereka juga adalah guru, penasihat dan pengajar yang paling setia disisi saat anak-anak berada dalam kebingungan untuk menentukan pilihan hidup yang harus dilalui. Mereka juga adalah penunjuk arah yag sangat tepat dikala anak-anak mengapai-gapai mencari jalan setelah tersesat jauh dari laluan hidup yang sebenar.

  Namun, sebagai anak pernahkah kita menghargai segala pemberian yang telah diberikan oleh ayah dan bonda kita. Segala pengorbanan dibalas dengan kelakuan buruk kita. Setelah sekian lama balutan cinta yang dibalutkan oleh ayah dan bonda dikenakan ke tubuh kita, kita sebagai anak yang kian dewasa dengan sewenang-wenangnya kita menanggalkannya hingga 'bertelanjang bulat' demi menagih balutan cinta yang belum pasti dari orang yang baharu dikenali.

  Tak terbayangkah betapa seksanya bonda ketika mengandungkan kita selama 9 bulan 10 hari atau lebih dari itu...membawa kita dalam kandungan kesana kemari...betapa sakitnya saat bonda cuba sedaya upaya melahirkan kita demi memberikan kita peluang untuk mengenali dunia ini..hingga ada diantara mereka yang terkorban saat anak tersebut mahu atau sedang dikeluarkan.. Tahukah betapa letihnya bonda saat dia terpaksa berhadapan dengan luka-luka selepas bersalin, selain perlu berpantang selama 44 hari yang seterusnya berlanjut hingga 60 hari lamanya..tak terbayangkah oleh mu... Aku pasti ramai yang tidak mampu membayangkannya kerna mereka tidak mengalami pengalaman itu sendiri..kerna mereka belum bergelar bonda lagi...begitu juga aku yang tergolong dalam golongan ini...

  Buat ayah..mampu kalian membayangkan betapa dalamnya pergorbanannya dalam mencari nafkah buat kalian..demi memenuhi mulut-mulut kalian yang tidak pernah lekang dari meminta-minta...berpanas, berhujan, beribut dan bertaufan sanggup dia redahi demi memikirkan permintaan kalian..saat dirinya lelah menyapu peluh yang telah bertukar menjadi debu-debu pasir..adakah kalian datang untuk menanyakan keperitannya..kalian mungkin datang tetapi hanya menanyakan soal permintaan yang dirasakan wajib dipenuhi..saat itu si ayah hanya terdiam seketika...lalu tersenyum kelat memandang kalian..lantas meneruskan kerja-kerjanya tadi..

  Namun, saat kita semua telah dewasa. mengapa susah untuk kita menurut kehendak mereka. Mengapa mereka kita jadikan sebagai halangan untuk mengapai cita-cita kita..mengapa mereka dijadikan musuh saat mereka tidak merestui perhubungan kita...Dalam sekelip mata segala jasa, pengorbanan, keringat, darah dan airmata menjadi sia-sia. Dalam sekelip mata hati ayah dan bonda hancur luluh kita binasakan...

  Wahai kalian yang bergelar anak (begitu juga dengan diriku)...ingatlah sekali gugurnya air mata ayah dan bonda... seinci pintu neraka terbuka buat kita.. sedetik ayah dan bonda terasa hati dengan kita... segunung dosa bakal terhempap di atas bahu kita... Segala makhluk dilangit dan dibumi akan mencela atas ketelanjuran kita menderhakai ibubapa...oleh itu, jika kalian masih mempunyai ibubapa atau hanya ibu atau bapa..hargailah mereka...sementara masih ada..jangan disaat telah terbujur kaku jasad ibubapa kita, baharu kita mahu menghargai mereka..

   Kasih sayang ibu membawa ke syurga..kasih sayang ayah sanggup berkorban nyawa...Aku pelara cinta juga tidak terlepas daripada melakukan dosa kepada kedua-dua orang tuaku... Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosaku kepada kedua-dua ibubapa dan semoga Allah mengampuni juga dosa ibu dan ayahku dan semoga ditempatkan mereka didalam syurga bersama-sama orang yang soleh...Amin.

JIKA CINTA..KENAPA HARUS PERPISAHAN DIAKHIRNYA~~

Cinta...suatu perkara yang sangat rumit untuk dijelaskan...

Setiap cinta adalah kurniaan daripada Illahi. Cinta juga boleh ditarik oleh-Nya jika Dia kehendaki. Mencintai sebuah cinta adalah suatu perkara yang sukar untuk dilaksanakan dengan sempurnanya. Kerana manusia hanya mencintai yang apa yang dirasakan pasti tanpa faham maksud yang hakiki.. Manusia hanya mencintai pada erti permukaannya tanpa cuba untuk menyelami maksud dasar sebuah percintaan itu.

  Cinta dan perpisahan. Hanya berlaku apabila manusia membelakangi Tuhannya sebagai tanda aras dalam mendalami nikmat cinta. Cinta yang hanya dibayangi oleh nafsu semata-mata hanya mampu untuk bertahan seketika cuma. Allah telah menciptakan rasa cinta seindah mungkin..tanpa ada catat celanya..tanpa ada kekhilafan padanya. Namun, yang merosakkan nikmat cinta adalah manusia itu sendiri.

  Dengan menyuntikkan nafsu berahi dalam nilai sebuah cinta, mereka sewenag-wenangnya mendustai erti sebenar sebuah cinta. Cinta yang cukup indah Illahi kurniakan kepada umat manusia hancur luluh atas tangan manusia itu sendiri. Dan dari kesalahfahaman dan kesalahtafsiran makna cinta itu, maka berleluasalah perpisahan yang menjurus kepada kehancuran sesebuah cinta agung dan abadi kepada Illahi.

  Perpisahan dalam perhubungan sesama manusia adalah omong kosong yang diwujudkan oleh manusia itu sendiri. Namun,  jika dilihat dari sudut Kecintaan kepada Illahi, soal perpisahan dengan Maha Pencipta itu tidak akan timbul sama sekali. Allah mencintai hamba-Nya lebih daripada hamba-Nya mencintai diri-Nya. Yang dipersoalkan ialah kecintaan umat manusia itu terhadap Tuhannya sendiri yang dilihat boleh bertambah dan berkurang dalam sekelip mata. Tetapi, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak akan pernah membenci hambanya melain yang kufur kepadanya dan memohon perpisahan dari terus sujud dan tawaduk kepada diri-Nya.

  Manusia adalah ciptaan yang sempurna. Itu tanda kecintaan Allah kepada hamba-Nya. Namun, sering kali nikmat itu didustai apabila manusia meletakkan darjah kesempurnaan mereka jauh lebih hina dari binatang. Sekaligus membuatkan diri mereka terpisah daripada kecintaan Illahi. Setiap cinta yang hadir selepas itu hanyalah palsu dan sia-sia serta menjurus kepada satu kitaran hidup yang berupa cinta dan perpisahan di akhirnya dan berulang kembali seperti biasa. Ini gara-gara kenikmatan cinta sejati telah Allah tarik dari hati manusia. Setelah manusia itu memutuskan rasa cinta dengan Yang Maha Esa.

  Aku bukanlah yang tahu segala-galanya tentang cinta. Aku hanyalah pelara cinta yang masih mencari erti yang sebenar. Cinta yang abadi, cinta yang hakiki, cinta yang dirahmati.

Tuesday 11 October 2011

DUGAAN DALAM KEHIDUPAN...

Manusia tidak lekang daripada menerima dugaan dan cabaran dalam hidupnya..

Tugas kita sebagai manusia adalah untuk menghadapi cabaran yang mendatang agar cabaran itu tidak menjadi batu penghalang buat kita dalam mengapai cita-cita. Dalam melalui liku-liku hidup yang kian mencabar ini, apa yang perlu ada dalam diri dan minda kita adalah sentiasa bersabar. Bersabar dan terus bersabar.

  Kita tidak akan tahu apa yang telah dirancang dan apa yang bakal berlaku setelah berlakunya perancangan dari Tuhan. Kita hanya mampu untuk bersedia dan membuat persediaan dalam menghadapi segala kemungkinan yang mendatang. Kadang kala dugaan yang datang, kita rasakan terlalu berat untuk ditanggung oleh diri kita. Namun, harus diingat bahawa, Allah tidak akan menduga umat melebihi kemampuan diri umatnya sendiri.

  Sering kali terdengar keluhan dan rungutan mengiringi setiap dugaan yang mendatang. Aku juga mengakui aku juga akan merungut, malahan akan marah-marah jika dugaan datang menimpaku secara tiba-tiba. Namun, setelah dugaan itu berjaya aku harungi, tiba-tiba perasaan bersalah dan rasa bodoh timbul dalam diri, jiwa dan pemikiranku...betapa bodohnya aku...betapa berdosanya aku...Tuhan yang aku salahkan...padahal semua itu atas kekhilafan dan kebodohan diri dalam merancang jalan penyelesaian bagi sesuatu dugaan itu..Betapa derhaka dan jahilnya aku ketika itu...Subbahanallah...

 Dugaan yang mendatang sebenar adalah tiket pahala kepada seseorang insan yang mentauhidkan Allah sebagai Tuhannya. Setiap kali kepedihan, kesusahan dan kesulitan yang dialami dalam kehidupan, jika diatasi dengan penuh kesabaran dan keredhaan..nescaya 'Tiket pahala' untuk masuk ke syurga akan terus jatuh ke tangan kita.

 Namun, aku bukanlah sesiapa yang mampu untuk menduga setiap tindakan dan rancangan dari yang Maha Kuasa. Aku sekadar mahu berkongsi sekelumit apa yang aku rasa, apa yang aku percaya. Sekarang Tuhan telah menduga aku....aku masih keliru dan hanya mampu redha dengan ketentuan-Nya itu. Semoga dipermudahkan segala dugaan dan cabaran yang hadir dalam hidupku nanti.Amin.

ERTI CINTA YANG SEBENAR BUAT DIRI AKU...

Bila sebut tentang cinta...apa yang kamu semua faham..?

Mesti ramai menyatakan pelbagai definisi yang berbeda..baik muda mahupun yang tua...baik miskin atau kaya...baik berilmu atau biasa... semua pasti memberikan pendefinisian berbeza mengikut pengalaman dan situasi yang pernah dilalui oleh mereka.

  Bagi aku, cinta adalah sebuah bentuk perhubungan sosial yang akan dialami oleh seseorang manusia dalam melengkapi kitaran perjalanan hidupnya. Tanpa cinta, kitaran hidup mereka tidak akan dapat berjalan lancar. Cinta itu hadir atas kurniaan yang Maha Esa. Cinta adalah salah satu nikmat yang sangat indah dan suci. Kerana cinta, dunia kembali aman sentosa. Kerana Cinta, lahir satu zuriat sihat dan bahagia...kerana cinta, kita saling cinta-mencintai antara satu sama lain...

  Namun, kenapa masih ada yang merana kerana cinta..? jawapannya ialah wujudnya golongan yang mempergunakan cinta sebagai alat untuk memuaskan perasaan sendiri tanpa peduli nasib dan perasaan orang lain. Cinta adalah suci...namun golongan ini yang memalitkan kotoran hingga sebuah kesucian cinta itu pudar dan seterusnya hilang begitu sahaja... Cinta diperjudikan atas tiket kepuasan diri...golongan yang boleh diklasifikasikan sebagai buta cinta ini sanggup mengadai maruah mereka dan cinta dengan menelanjangkan balutan cinta yang sekian lama membalut tubuh mereka sedari bayi..yang dibalut oleh ibunda dan ayahanda mereka sendiri...

  Cinta juga dipandang serong apabila wujudnya pengkhianat cinta dalam sesebuah hubungan suci ini...Pengkhianat cinta menyelinap masuk dalam jaringan cinta untuk menikam belakang para pencinta yang setia...tiket mencinta dan kelebihan diri yang ada dipegang untuk terus menyelinap masuk dan merasuk kedalam jiwa insan yang digelar "Sang Setia". Setelah berjaya merasuk kedalam jiwa Sang Setia...Satu 'tikaman' merobek terus kedalam hati dan jasad sang setia...Ada kalanya pengkhianat cinta ini bukan hanya menikam sekali..tetapi berkali -kali tikaman dilepaskan hingga Sang setia tidak mampu untuk terus berbicara..dan mati rohnya sia-sia..

  Pokoknya, cinta itu satu yang suci daripada Illahi..yang mencemarkan kesucian cinta itu ialah Makhluk ciptaan Illahi itu sendiri yang diberi nama sebagai MANUSIA...Jadi, hargai nikmat ini sebelum Tuhan menariknya dari hati kita akibat daripada kejahilan kita sendiri...fikirkan dan mula melakukan sesuatu yang baharu..Allah cintakan hamba-Nya yang sentiasa sedar akan kesilapan diri dan sentiasa mahu bertaubat. Mulalah mencintai cinta yang masih ada dalam diri anda.